TRADISI makan sirih merupakan warisan budaya silam, melebihi 3,000 tahun yang lampau atau zaman Neolitik dan diamalkan dengan meluas di rantau Asia Tenggara, hingga keabad kini. Pengamalnya terdiri dari pelbagai golongan termasuk masyarakat marhaen, pembesar negara, raja serta kalangan istana dan tidak ketinggalan juga kanak-kanak.
Tradisi ini tidak dapat dipastikan dari mana asalnya. Ianya dikatakan berasal dari India, berdasarkan cerita-cerita sastera. Manakala jika berdasarkan bukti linguistik, kemungkinan besar tradisi ini berasal dari kepulauan Indonesia. Pelayar terkenal Marco Polo diabad ketiga belas telah menulis dalam catatannya bahawa terdapat segumpal sentil atau songel tembakau dimulut kaum India. Kenyataan ini dijelaskan juga oleh penjelajah terdahulu daripadanya seperti Ibn Batuta dan Vasco Da Gama yang menyatakan terdapat masyarakat di sebelah Timur memakan sirih.
Sementara di Malaysia, tradisi ini dikatakan mungkin bermula tanpa pengaruh luar. Masyarakat India menyatakan bahawa sirih pada mulanya bukan untuk dimakan, tetapi adalah sebagai bahan persembahan sewaktu sembahyang di kuil-kuil sahaja. Beberapa daun sirih akan dihidangkan bersama-sama sebelah kelapa yang telah dibelah dua berserta dua biji pisang emas sebagai persembahan untuk dewa.
Kini sirih menjadi popular dikalangan masyarakat Melayu, selain dimakan oleh masyarakat marhaen, juga sebagai simbol adat resam dan adat istiadat Melayu yang telah menjadi suatu kepastian di dalam beberapa upacara adat kaum tersebut. Dalam urusan nikah kahwin, perubatan tradisional dan banyak lagi adat adalah sebagai contoh dimana sirih itu digunakan secara beradat sekali.
Sirih junjung dihias cantik sebagai sebahagian barang hantaran pengantin dan juga sirih penyeri kepada pengantin perempuan. Selain itu di dalam upacara rasmi kebesaran istana dan kerajaan juga, sirih junjung memainkan peranan penting, dimana ianya menjadi penyeri majlis dan mengepalai sesuatu perarakan yang diadakan.
Masyarakat Melayu memang terkenal dengan sifat sopan santun, berbudi bahasa serta penuh dengan adat budaya dalam menjalani kehidupan seharian. Begitulah keadaanya dalam adat bersirih, setiap bahan yang terkandung mempunyai pengertian dan membawakan maksud tertentu.
SIRIH : Dimengertikan sifatnya yang merendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain, sedangkan dirinya sendiri adalah bersifat pemberi. Ini disebabkan dengan sifat memanjat pohon sirih di atas junjung atau pokok sakat atau juga pokok api-api yang digemairnya dan dalam masa yang sama tidak merosakkan junjung itu.
KAPUR : Melambangkan hati seseorang yang putih bersih serta tulus, tetapi jika keadaan tertentu yang memaksanya ia akan berubah lebih agresif dan marah. Walaupun kapur ini diperolehi hasil prosesan cengkerang kerang atau batu kapur, ianya berwarna putih bersih, tetapi tindakbalasnya boleh melecurkan.
GAMBIR : Dengan sifatnya yang kelat kepahit-pahitan memberikan erti kecekalan hati. Warna daun gambir yang kekuning-kuninangan serta melalui pemprosesan untuk mendapatkan sarinya sebelum boleh dimakan bersama sirih.
PINANG : Digambarkan sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, tinggi darjatnya serta jujur. Bersedia melakukan sesuatu perkara dengan hati terbuka dan bersungguh-sungguh. Ia memadankan sifar pokok pinang itu yang tinggi lurus ke atas serta mempunyai buah yang lebat dalam setandan.
TEMBAKAU : Melambangkan seseorang yang berhati tabah dan sedia berkorban dalam segala hal. Ini kerana daun tembakau itu sendiri berasa pahit dan memabukkan apabila ianya telah dihiris halus sebagai tembakau serta tahan lama untuk disimpan.