Jumaat, 3 Februari 2012

LELAKI TUA DI DATARAN MARMAR MASJIDIL HARAM

Oleh Nazel Hashim Mohamad

I
WAKTU zuhur sudah hampir. Sebaik sahaja lelaki tua memijakkan kakinya di dataran marmar berkilat di luar Masjidil Haram, dia merasakan seperti kakinya terperlus ke dalam bara yang amat panas. Lelaki tua meraung sekuat-kuat tenaganya dan fikirannya mengarau cuba memastikan apakah benar dia dalam keadaan itu, kerana pada mata kasarnya dia sempat melihat sekeliling dirinya, bahawa dia tetap berdiri berbalutkan kain ihram di atas dataran marmar yang sibuk dengan manusia yang sedang menuju ke pintu-pintu masjid. Tidak ada bara, tidak ada api, malah dirinya tidak pun terbakar atau terbenam di dalam bara seperti dirasakan. Tiada siapa yang memberikan reaksi kepada laungannya. Dirinya seolah-olah tidak wujud bagi mereka di sekeliling.
Sebentar cuma perasaan menakut dan mengerikan itu menikam fikirannya. Merasakan lega, lantas lelaki tua mengangkat kakinya hendak melangkah menuju ke Babus Salam. Ketika itu juga perasaan yang sama menerjah fikirannya semula. Seluruh tubuhnya dirasakan terbakar di bawah sinar matahari musim panas. Namun keadaannya tidak juga seperti dirasakan. Dirinya dan suasana sekeliling tetap normal. Sekali lagi lelaki tua cuba melangkah, dan kali ini tiba-tiba sahaja langkahnya seperti diubahkan oleh entah siapa. Langkahnya tidak ke arah Babus Salam, sebaliknya ke arah luar kawasan Masjidil Haram. Lelaki tua tidak mengerti, fikirannya tiba-tiba dirasakan seperti melompang. Dia tidak lagi memikirkan hendak ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf, beriktikaf, melaksanakan solat sunat dan fardu berjemaah. Sebaliknya seperti robot yang diprogramkan, lelaki tua melontang-lantung di jalan-jalan di sekitar kota. Setelah beberapa waktu ingatannya kembali siuman dan segera dia mencari jalan pulang ke hotelnya, tetapi tidak ketemu. Darjah keceriaannya seperti menurun ke paras minimum. Rasa murung seperti mula menemani nubari dan wajahnya.
Hampir tiba waktu asar lelaki tua kembali sedar akan dirinya lalu segera mengikut orang ramai yang dia pasti menuju ke Masjidil Haram. Dirasakan langkahnya begitu pantas, apatah lagi apabila dia telah dapat melihat menara-menara Masjidil Haram. Degup jantungnya seperti mendera dirinya setelah dia tiba-tiba teringatkan kisah menakutkan sebelum waktu zuhur tadi. Lelaki tua semakin hampir pinggir dataran marmar yang berkilat dan sentiasa digilap dengan mesin khas oleh para pekerja dari Bangladesy. Dari kejauhan kilatan marmar kelihatan seperti air tenang di tasik biru yang membiaskan warna langit itu. Namun dia meyakinkan dirinya agar dia tidak terhalang oleh sesuatu yang boleh menyekat dirinya daripada memasuki Masjidil Haram dan melihat Ka’bah buat pertama kalinya. Keyakinannya bertambah kuat apabila langkahnya tidak terganggu buat beberapa meter ke tengah dataran.
Di luar kemampuan pemikirannya tiba-tiba lelaki tua merasakan dirinya terjatuh ke dalam lautan yang amat dalam. Dia menggapai-gapaikan tangannya meminta tolong. Ah, apakah benar? Apakah aku di dalam lautan? Tanya hatinya, tercungap-cungap, menyalangkan matanya, dan mulutnya seperti meluikkan air yang sedang mengembungkan perutnya, sedangkan matanya dapat melihat kenormalan dirinya di tengah dataran marmar bersama-sama para jemaah lain yang sedang berpusu-pusu ke pintu utama masjid. Apakah ini realiti atau ilusi? Atau apakah aku sudah tidak siuman? Lelaki tua sempat bertanya pada dirinya sendiri. Kemudian dia merasakan dirinya sedang mengharung air setakat lutut ke arah jauh di tepi gedung-gedung perniagaan di luar kawasan masjid. Sekali lagi lelaki tua gagal menghadirkan diri di dalam masjid yang Allah janjikan seratus ribu pahala bagi setiap solat yang didirikan di situ. Malah dia masih belum dapat hendak melaksanakan asas rukun hajinya, kepalang menyedihkan nasib lelaki tua. Sekali lagi seperti orang yang sudah lupa segalanya dia terus berkelana di sekitar gedung-gedung perniagaan yang ultra moden itu.
Seperti diprogramkan lelaki tua kembali siuman setibanya waktu maghrib. Lampu-lampu di Masjidil Haram dan seluruh kota Makkah membenderangkan seluruh ruang. Lelaki tua secara automatis melangkah ke dataran marmar. Langkahnya tenang dan yakin, dan dirasakan sudah melebihi jarak sewaktu dirasakan dirinya seperti tenggelam di dalam air yang dalam sebelum itu. Angin sejuk, tetapi menyegarkan sedikit menikam liang romanya yang hanya dibaluti kain ihram itu. Walau apa pun lelaki tua beriltizam untuk melangkah ambang Babus Salam, dan belum sempat dia berpanjang fikir tiba-tiba dirasakan tubuhnya ditiup angin kencang dan dirinya melayang ke awang-gemawang. Dia seperti melihat manusia semakin mengecil dan mengecil seperti semut melata di bumi. Sedangkan dirinya tetap berada di bumi nyata, dan merasakan pula dirinya seperti ditolak angin ke tepi jalan besar jauh dari pintu masjid. Dan sekali lagilah lelaki tua hilang akal dan melilau jauh di lorong-lorong kota.
Azan isyak menggema ruang kota. Lelaki tua tiba-tiba terjaga daripada kealpaan totalnya terhadap keadaan dirinya dan langsung melangkah ke dataran marmar. Biasa sahaja langkahnya menuju ke Babus Salam. Dia begitu tenang sambil berdoa agar hajatnya dimakbulkan Allah. Semakin dekat dia ke pintu utama masjid itu, semakin yakin hatinya. Dia sudah hampir sangat dengan Babus Salam dan mula menanggalkan seliparnya. Sebaik sahaja dia membongkok tiba-tiba dirasakan dirinya seperti dihempap tembok masjid. Kepalang sakit dirasakan seluruh tubuhnya. Terjelapak di luar pintu masjid, lelaki tua melihat ke sekeliling. Tidak ada tembok yang runtuh, tidak ada kecederaan pada tubuhnya, dan tidak ada orang yang panik. Lelaki tua merasakan dirinya seperti tidak dilihat oleh sesiapa pun, seolah-olah watak dalam mimpi cuma. Lelaki tua menduyun sama para jemaah yang selesai solat isyak menuju ke hotelnya. Seperti manusia bangang lelaki tua terus sahaja ke kamar, dan tanpa bicara apa pun dengan teman-teman lain langsung merebahkan tubuhnya di atas tilam cuba melupakan peristiwa ganjil dan menakutkan terjadi ke atas dirinya sebelum itu.
Berkumandang sahaja azan pertama menandakan waktu subuh, lelaki tua sudah bersedia hendak ke masjid. Dia yakin niatnya kali ini tidak terhalang oleh sesuatu yang sukar hendak dimengertikan. Dengan hati yang tenang lelaki tua melangkah masuk ke dalam lif dan turun ke ruang legar hotel. Di situ sudah ramai jemaah menunggu untuk pergi bersama-sama. Melangkah sahaja ke luar hotel, dingin pagi dirasakan seperti menikam setiap liang romanya. Namun dia merasakan dirinya segar dan yakin dapat masuk ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf selamat datangnya. Semakin dekat dia ke Babus Salam semakin dingin dirasakan tubuhnya. Marmar yang dipijak dirasakan seperti ais yang tajam menyucuk telapak kakinya. Kini seluruh tubuhnya dirasakan seperti membekudingin. Lelaki tua sempat bertanya pada dirinya, Apakah ini dugaan, ilusi atau realiti? Dia sekadar mampu bertanya begitu. Lelaki tua masih gagal walau untuk menjenguk ke dalam Baitullah, lebih-lebih lagi untuk menawafi Ka’bah-Nya. Sekali lagilah lelaki tua berkelana ke seluruh kota dan mengulangi nasib yang sama setiap waktu dia cuba mendekati Babus Salam untuk masuk ke Masjidil Haram dan melakukan tawaf dan beribadat di situ.
II
Lelaki tua teresak-esak sendirian tersandar pada bagasinya yang satu itu, bagasi yang jarang dibuka sewaktu dia berada di Makkah kerana tidak seberapa isinya, dan keperluannya juga langsung tidak mendesak. Dia merasakan dirinya begitu kerdil di tengah-tengah kesibukan ribuan manusia dan aktiviti di Lapanganterbang King Abdul Aziz di Jeddah itu. Jadual penerbangannya lama lagi, tetapi dia perlu berada di situ seperti juga yang lain-lain untuk melicinkan jadual keberangkatan. Baharu ini dia merasakan fikirannya agak sedikit tenang setelah sekian lama terseksa oleh sesuatu di luar kemampuannya untuk dimengertikan. Namun sedikit ketenangan yang dirasakan itu tidak pula dapat menyelesaikan rahsia seksa jiwa yang dialami sewaktu dia mula menjejakkan kakinya di bumi Makkah, terutama di kawasan Masjidil Haram.
Dalam pada teresak-esak itu lelaki tua didatangi seorang anak muda yang kacak lalu bertanyakan keadaan dirinya, seolah-olah dia memang tahu akan derita yang lelaki tua itu alami. Sebaik selesai sahaja lelaki tua menceritakan peristiwa aneh yang dialami itu, tiba-tiba sahaja anak muda itu, tanpa berkata apa-apa, langsung ghaib daripada pandangan lelaki tua. Apakah aku bermimpi? Bertanya lelaki tua pada dirinya sendiri. Dia terus tersandar pada bagasinya dan cuba melelapkan matanya, tetapi dirasakan seperti ada sesuatu yang menuding kepadanya sambil berkata, Lihatlah, itulah rumahmu bersebelahan dengan masjid. Sepanjang hayatmu pernahkah kamu bersolat di masjid itu, di rumah Allah di kampungmu itu? Itu, Dan itu, itu jenazah isterimu disembahyangkan, dan itu kamu hanya berdiri di luar masjid tidak bersama menyembahyangkan jenazah isterimu. Tudingan seperti bersuara itu kemudian lenyap begitu sahaja, seperti lenyapnya anak muda tadi.
Lelaki tua dapat melihat segala yang dikatakan oleh suara menuding itu seperti dia menonton peristiwa langsung di televisyen, dan lanjutannya dengan penyerlahan peristiwa aneh, menakut dan membingungkannya yang berulang-ulang dialami sewaktu berada di dataran marmar Masjidil Haram yang menghalangnya daripada memasuki Baitullah. Apakah Allah tidak menghidayahiku untuk sujud di rumah-Nya itu? Lelaki tua teresak-esak menyembam muka pada bagasi mengenang natijah segala peristiwa itu.

Sumber:
DBP, Wilayah Utara: Jendela Utara, Bil. 16, Ogos 2006