Isnin, 25 Julai 2011

Cerpen: Menunggu Hari Raya

Oleh Hafizah Iszahanid

“SELAMAT Hari Raya Nadia,” saya senyum lewat kata-kata itu. Saya belai rambut Nadia, dia tidak merasai nikmat belaian itu, saya tahu. Nadia belum sedar, Nadia belum mampu membuka mata pun. Namun, saya tahu sebaik sedar nanti, kalau Nadia mampu dia akan menjeritkan di puncak tertinggi, inilah nikmat Aidilfitri paling agung.Luahan rasanya:
Saya mengenal Nadia sejak setahun lalu. Entah mengapa, hati saya tersentuh setiap kali melihat Nadia. Mungkin kerana saya juga perempuan seperti Nadia, bersuami dan punya anak seusia, lalu kami jadi saling memahami.

Atau mungkin kerana sudah hampir setahun Nadia terlantar di sini. Dan selama setahun itu juga saya kerap mendengar dia bercerita tentang Zukri, anak lelaki berusia setahun yang ditinggalkan bersama mentua di kampung.

Selama 12 purnama mengenalnya, saya menjadi pendengar setia tentang keinginannya mendakap Zukri, tentang keinginannya menyusukan Zukri, tentang keinginannya membelai Zukri. Namun, semua keinginan itu tinggal keinginan. Ia tidak mungkin menjadi kenyataan selagi tiada yang mampu menggantikan jantung mekanikal, jantung pinjaman seberat 10 kilogram, yang perlu diseret Nadia 24 jam tanpa gagal.
Nadia, saya tahu dia wanita tabah. Selama setahun mengenal dia saya melihat ketabahan itu di matanya.

“Belum pulang doktor?,”

Semalam, sewaktu saya bertemu dengannya untuk mengucapkan selamat hari raya, Nadia terlebih dahulu menyapa saya.

Esok hari raya. Saya terpanggil untuk bertemu Nadia sebelum saya bercuti raya bermula esok. Jam waktu itu hampir lima petang, saya tahu suami sudah tamat giliran tugasnya dan sudah tidak sabar mahu pulang.

Tapi saya sengaja melewatkan-lewatkan waktu pulang. Saya tidak tertarik dengan keterujaan suami untuk pulang beraya di kampung halamannya jauh di Kota Bharu. Sedang saya mahu berhari raya di kampung halaman saya, yang hanya perlu memandu dua jam setengah melalui Lebuhraya Utara Selatan untuk sampai.

Dan sejak seminggu lalu pun, kami sudah berperang dingin, merebut giliran di kampung siapa mahu disambut Aidilfitri.

“Tahun lalu sudah raya di kampung awak, mengapa tidak tahun ini di kampung saya?,” saya ingat suami bertanya waktu bersahur kelmarin. Pertanyaan yang entah kali ke berapa.

“Ya, saya tahu, tapi cuti raya tahun ini dua hari saja dan saya perlu segera kembali bertugas pada pagi hari raya kedua. Kota Bharu itu jauh, jalan sesak kalau hari raya, tidakkah awak kasihan pada saya dan diri sendiri? Orang suruh tempah tiket kapal terbang awal-awal tak mahu!,”

“Awak duduk diam, saya yang bawa kereta,”

“Tapi saya yang perlu bekerja bukan awak. Letih otak lebih lelah daripada letih memandu,”

Dan hujah itu yang menyaksikan suami menghempas pintu bilik dan tidur di ruang tamu sepanjang malam.

“Tak baik doktor buat Doktor Aizad begitu, dia kan suami?,”

Saya ketawa kecil waktu Nadia cuba menenangkan saya lewat kami bercerita, meluah rasa kisah balik raya.

“Mujurnya saya tidak perlu berebut balik raya ...,” Nadia senyum tapi lewat kata-kata itu saya tahu ada sebak dalam dadanya. Sebak yang membakar seluruh jiwa.

“Tapi saya lebih rela berebut balik raya daripada berhari raya di hospital,”
Aduh Nadia!

Lalu, keakraban itu membuat saya perlu bertemu dan memohon maaf atas kekhilafan sepanjang mengenal ibu muda 35 tahun itu. Sebelum saya pulang berhari raya di kampung suami dengan hati tidak rela, tidak ikhlas pun, penuh amarah dan dirusuh resah.

Sebenarnya, Nadia tidak boleh menjadi istimewa. Nadia perlu menjadi seperti mana semua pesakit yang pernah saya rawat. Layanan dan keprihatinan sama rata dan sama rasa. Namun, sejak setahun mengulangnya di wad, kami menjadi begitu akrab pula di luar sedar.

Pertamanya mungkin kerana kami sebaya. Namun, bezanya Nadia sudah punya lima anak sejak mula berkahwin pada usia 22 tahun. Sedang saya masih menimbang untuk punya cahaya mata kedua selepas Khadeeja lahir setahun lalu.